Wednesday, December 16, 2009

SRAISM Menyertai Muhayyam Perdana SRAI N.Selangor

MUKHAYYAM PERDANA UNIT BERUNIFORM SRAI NEGERI SELANGOR
Bukit Lagong 10-12 Nov. 2009 -Satu program Perkhemahan Unit Beruniform Sekolah-sekolah Rendah Agama Integrasi Negeri Selangor telah diadakan selama 3 hari 2 malam bertempat di Pusat Belia Bukit Lagong, Selayang. Program telah dihadiri oleh 220 murid-murid yang terdiri dari kalangan ahli pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) , Puteri Islam dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dari 11 Sekolah Rendah Agama Integrasi Negeri Selangor.
Turut diadakan sempena program Mukhayyam berkenaan ialah acara 'Nigh Walk', 'Flying Fox,' 'Obstacle' dan 'Wall Climbing'. Seramai 66 orang guru pengiring dan 6 orang jurulatih khas turut terlibat menjayakan program ini. Pada hari pertama , kesemua peserta didedahkan dengan ilmu kenal diri dan motivasi melalui aktiviti pecah bendungan atau ice breaking dan aktiviti motivasi setempat yang dikendalikan oleh guru berpengalaman dalam bidang berkenaan.Kesemua aktiviti program dipantau oleh Kem Komandan, En. Mohd Kamaruzzaman Bin Hj Masdar (SRAI SS19) dan pegawai-pegawai Bahagian Pendidikan Islam yang turut mengikuti perkhemahan tersebut.
Pada hari kedua, semua peserta yang dibahagikan kepada 3 kumpulan besar mengikuti latihan dan amali flying fox, obstacle dan wall climbing secara bergilir bermula jam 9.00 pagi hingga ham 5.30 petang. Bagi acara malam, 6 kumpulan telah dibentuk bagi melaksanakan 'night walk' yang berakhir pada jam 2.30 pagi. Kesemua peserta telah melalui jalan tanah tinggi sekitar air terjun dan sungai di kawasan berkenaan dalam keadaan malam yang sejuk.
Pada keesokkan harinya (hari ketiga), semua peserta mengikuti 'program jungle tracking' dan 'jungle cook' di sekitar kawasan hutan sekeliling perkhemahan berkenaan.Semasa aktiviti berkenaan, peserta turut diajar kaedah menetapkan kiblat secara teori dan praktikal di samping amali solat dhuha dan aktiviti memasak menggunakan alatan sesuai di dalam hutan. Kesemua peserta kembali ke lokasi perkhemahan utama di Pusat Belia pada jam 1.30 petang untuk persiapan majlis penutup. Pada sesi majlis penutup, YBhg. Tn. Haji Ali Bin Mohamad yang mewakili SS Pengarah JAIS telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada kumpulan-kumpulan yang menunjukkan disiplin dan komitmen yang tinggi dalam semua aktiviti yang dilaksanakan. Kesemua peserta telah meninggalkan tapak perkhemahan pada jam 5.00 petang.

SRAI Sungai Manggis Terbaik SRAI N.Selangor (PSRA 2009)


12 November : Seramai 79.0% daripada 32,478 pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun 2009 telah lulus dalam ujian tersebut. Keputusan tersebut memperlihatkan peningkatan 3.5% berbanding pencapaian 2008, di mana seramai 75.5% daripada 31,366 pelajar lulus dalam peperiksaan yang sama.

Demikian diumumkan oleh SS Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato' Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi di Majlis Pengisytiharan keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang telah diadakan pada 12 November, 2009 di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor, Shah Alam.

Sementara itu, di majlis yang sama, pelajar Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis, Kuala Langat, Ainul Asyikin binti Abdul Rahim yang mencatat keputusan peperiksaan 99.0% telah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PSRA 2009 kategori perempuan, manakala Muhammad Firdaus bin Seh Albar dari Sekolah Rendah Agama Bukit Naga, Klang, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PSRA 2009 kategori lelaki. Beliau mencatat keputusan peperiksaan 98.0%.

Bagi Anugerah Sekolah Cemerlang PSRA 2009, Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq dari Daerah Gombak dan Kelas Agama Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) Al-Ikhwan, Bandar Baru Sungai Buloh Daerah Petaling, telah mencatat keputusan 100% pelajar lulus peperiksaan. Kedua-duanya adalah dalam kategori KAFAI dan sekolah Swasta. Sementara itu, Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis, Kuala Langat mencatat peratus pelajar lulus sebanyak 96.1%(kategori SRAI N.Selangor) dan SRA Batu 13, Puchong mencatat 94.0% (kategori SRA). Daerah Sepang(kategori Daerah) menerima Anugerah Daerah Terbaik PSRA 2009 dangan catatan peratus lulus sebanyak 82.0%.

Majlis pengisytiharan keputusan peperiksaan PSRA juga turut dihadiri oleh Tuan Haji Ali bin Mohamed, Timbalan Pengarah, JAIS, Encik Ahmad Shahir bin Makhtar, Pengurus Besar, Lembaga Zakat Selangor dan Tuan Haji Amir bin Danuri, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...