Wednesday, December 16, 2009

SRAI Sungai Manggis Terbaik SRAI N.Selangor (PSRA 2009)


12 November : Seramai 79.0% daripada 32,478 pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun 2009 telah lulus dalam ujian tersebut. Keputusan tersebut memperlihatkan peningkatan 3.5% berbanding pencapaian 2008, di mana seramai 75.5% daripada 31,366 pelajar lulus dalam peperiksaan yang sama.

Demikian diumumkan oleh SS Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato' Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi di Majlis Pengisytiharan keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang telah diadakan pada 12 November, 2009 di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor, Shah Alam.

Sementara itu, di majlis yang sama, pelajar Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis, Kuala Langat, Ainul Asyikin binti Abdul Rahim yang mencatat keputusan peperiksaan 99.0% telah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PSRA 2009 kategori perempuan, manakala Muhammad Firdaus bin Seh Albar dari Sekolah Rendah Agama Bukit Naga, Klang, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PSRA 2009 kategori lelaki. Beliau mencatat keputusan peperiksaan 98.0%.

Bagi Anugerah Sekolah Cemerlang PSRA 2009, Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq dari Daerah Gombak dan Kelas Agama Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) Al-Ikhwan, Bandar Baru Sungai Buloh Daerah Petaling, telah mencatat keputusan 100% pelajar lulus peperiksaan. Kedua-duanya adalah dalam kategori KAFAI dan sekolah Swasta. Sementara itu, Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis, Kuala Langat mencatat peratus pelajar lulus sebanyak 96.1%(kategori SRAI N.Selangor) dan SRA Batu 13, Puchong mencatat 94.0% (kategori SRA). Daerah Sepang(kategori Daerah) menerima Anugerah Daerah Terbaik PSRA 2009 dangan catatan peratus lulus sebanyak 82.0%.

Majlis pengisytiharan keputusan peperiksaan PSRA juga turut dihadiri oleh Tuan Haji Ali bin Mohamed, Timbalan Pengarah, JAIS, Encik Ahmad Shahir bin Makhtar, Pengurus Besar, Lembaga Zakat Selangor dan Tuan Haji Amir bin Danuri, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...